Followers

Sunday, August 12, 2012

surat terbuka buat Puan Ainon Mohd (yang sedikit sebanyak membuatkan saya teringat akan diari pertama di rumah yang mula dipandang secara serius ketika berumur 16 tahun, terima kasih buat Sarah Joan Mokhtar atas ingatan anda)


rujukan asal kenyataan Puan Ainon Mohd di sini dan kronikel Fixi dan Kedai Buku Popular di sini

Puan Ainon Mohd,
saya faham kegusaran puan cuma rasanya perlu diperjelaskan bahawa buku-buku dari penerbitan Fixi yang dihalang jualannya hanya 2 sahaja iaitu HILANG dan MURTAD daripada banyak buku terbitan mereka.

   saya rasa catatan puan perlu lebih terperinci seperti tajuk buku serta capaian kepada isu ini supaya pelawat 'universiti terbuka' ini lebh memahami akan apa yang sedang berlaku. bila puan menyebut akan rungutan ibu bapa (saya membayangkan rungutan yang diterima oleh pihak Popular ini datang dari ibu bapa kepada seorang remaja yang berusia 24 tahun yang masih dalam tanggungan), permasalahannya ialah bukan soal bahasa sahaja, tetapi kelemahan pihak kedai buku atau penerbit dalam melabel buku-buku mereka, samada sesuai untuk seisi keluarga atau kategori kanak-kanak atau pembaca muda atau remaja ataupun dewasa atau jika ingin lebih spesifik lagi, saranan saya, labelkan ‘untuk pembaca matang sahaja’ seperti yang dibuat oleh penerbit komik DC/Vertigo untuk novel grafik mereka seperti Watchmen, V For Vendetta, Sandman A History of Violence antaranya, selepas komik (atau bahasa yang lebih tepat, novel grafik supaya lebih adil untuk siri Sandman tulisan Neil Gaiman) sebelumnya dilihat hanyalah bahan bacaan ringan untuk golongan muda dan fanboy.

   apabila sesebuah buku novel itu dilabelkan hanya untuk pembaca matang, maka kita dapat membuat kesimpulan yang membeli naskhah ini adalah di kalangan mereka yang pandai-pandai belaka. sukar untuk saya mengatakan yang buku-buku terbitan Fixi ini boleh dikategorikan dalam kumpulan Bahasa Melayu Rendah kerana ada di kalangan editor untuk penerbitan Dewan Bahasa (untuk lebih spesifik, Dewan Sastera) juga turut menulis untuk Buku Fixi. yang rendah bahasanya mungkinlah hanya sebahagian teks yang disebut oleh pihak Popular dan bukan bersifat menyeluruh (tetapi teks ini perlu dalam menyatakan kebenaran dan realiti yang ingin digambarkan pada novel, kelak novel akan jadi seperti filem arahan Yusof Haslam era Awie dan Erra). yang disentuh mungkin tak sampai beberapa muka daripada beratus-ratus mukasurat.

   dan ada juga keraguan jika puan benar-benar membaca kesemua buku-buku penerbitan Fixi ini. lebih mudah jika puan membuat analisa kepada buku-buku ini seperti sebuah ulasan supaya peminat novel dan sastera berbahasa Melayu hari ini dapat lebih memahami apa isi kandungan, cerita dan gaya bahasa yang cuba disampaikan oleh penulis kerana pada pendapat saya dengan adanya penerbit-penerbit bebas maka bertambahlah minat anak-anak muda untuk membaca malah ada yang bercita-cita mahu turut menjadi penulis kerana keberjayaan novel-novel ini dan kepelbagaiannya. zaman ini, anak-anak muda kita agak bertuah kerana mudah terdedah dengan pelbagai platform yang mendekatkan mereka dengan bahasa Melayu, sastera dan penulisan samada karangan atau puisi selepas adanya internet, blog dan jaringan sosial seperti Twitter dan Facebook. mereka boleh berhubung secara terus dengan penulis kegemaran mereka untuk bertanyakan pendapat dan sedikit ilmu. bezanya dengan waktu saya bersekolah dahulu sekitar 1990’an ketika internet masih belum bertapak di tanahair, ketika pendidikan bahasa Melayu di sekolah amat kurang membantu kerana tenaga pengajar yang lebih banyak memberi markah tetapi tiada penerangan akan sebuah penulisan yang baik, bahasa Melayu yang 'tinggi', atau pengisian untuk sebuah karangan yang baik. tiada perkara yang dapat menarik minat pelajar untuk menulis kerana dilambakkan dengan novel-novel dengan perkataan ‘cinta’, ‘rindu’ atau sesekali ‘ombak’ seolah-olah kita tak terbuka genre penulisannya. tiada kem penulisan karangan atau tips untuk menjadi seorang penulis yang berjaya dan memartabat bahasa. kebanyakan rakan sekelas pula ialah bakal mat rempit yang berpotensi. cuma saya agak bernasib baik kerana meminati muzik yang turut menerbitkan minat terhadap jurnalisma muzik yang memperkenalkan saya akan nama-nama seperti Lester Bangs, Simon Reynolds, Chuck Klosterman dan ada juga penulis tempatan yang berwibawa seperti Saniboey Mohd Ismail.

   jelasnya, semua bermula di luar kawasan persekolahan yang kemudian cuba dibawa ke sekolah, dipraktikkan dalam suasana pendidikan yang agak formal dan menjadi tugas pendidik untuk membetulkan apa yang dirasakan salah atau perlu diperbetulkan kecuali jika pendidik itu tidak menjalankan tanggungjawabnya. saya tahu kerana pernah mengalaminya.

   saya menghormati keputusan Popular untuk menghentikan edaran dua buah buku terbitan Fixi (bukan semua) tetapi ia bukanlah satu sekatan kepada perkembangan bahasa yang total. sebenarnya, ada begitu banyak caranya untuk mendekatkan remaja kepada bahasa Melayu, mencintainya dan memartabatkannya. daripada seringan-ringan dan serendah-rendah bahasa hingga ia naik setingkat demi setingkat kepada bahasa yang lebih tinggi hingga ia mencapai tahap nirvana. perlu ada panduan dan janganlah disekat.

maaf. saya menulis dalam bahasa Melayu dalam kadar sederhana sahaja.

and in the end, all he say is “it's just business nothing personal...” 
Related Posts with Thumbnails