Apparently, The Library Coffee Bar Avenue K terlalu kecil untuk pelukis yang power macam Fai Zakaria walaupun dalam gambar, nampak kecil je. Komunikasi verbal kami sepanjang berkenalan bertahun dulu di Facebook ialah saya like gambar dia, dia like gambar saya. Mainly artworks. Tapi yang tukang like banyak tu sayalah. Sebab tiap kali dia post hasil kerja terbaru, saya dah tak tau nak kata, da tak boleh nak taip komen dah. Jaw dropped. Saya like sebab terlalu menghargai hasil kerja tangannya hingga terbit rasa cemburu. Saya melukis di tempat kecil, di tempat yang sama setiap hari yg jadi neraka klaustrofobik buat diri sedang dia berjalan jauh hingga ke Eropah, sambung melukis. Dan semua patut cemburu sebab dia merakam kenangannya, bukan melalui foto tetapi lakaran, lukisan yang kemudian diabadikan sebagai buku 'Kembara Seorang Pelukis: Lakaran & Catatan 60 Hari di Eropah' atau versi Inggeris ‘An Artist’s Adventure : Sketches & Notes 60 Days in Europe’ kini di pasaran terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia ( buku setebal 229 halaman penuh warna ini boleh dibeli di kedai buku utama seluruh negara, Kedai Buku 1Malaysia, kata tuan pengarah ITBM, Encik Khair Ngadiron, "di pasar tani Kelana Jaya" atau secara talian di ecommerce.itbm.com.my ). Pelancaran bukunya pada petang 7 November lalu disempurnakan oleh Uwei Haji Saari (dalam katanya buat rasa rindu dengan tempat yg dilawati), persembahan istimewa dari Sani Sudin. Harap bukunya habis cepat dan reprint lagi, macam mana cepatnya pizza dan sandwich habis tadi di Library. Ia buat mereka yang kerap mengemaskini travelog melihat kembara itu dalam dimensi berbeza.
---+++
(dari siaran media yang dikepilkan pada hari pelancaran)
MENGEMBARA SAMBIL MELUKIS, KARYA FAI ZAKARIA DILANCARKAN
Kembara, Coretan, Lakaran dan Lukisan - ini adalah 4 Elemen harmoni dalam buku Kembara Seorang Pelukis Lakaran & Catatan 60 Hari di Eropah dan terjemahan Inggeris An Artist's Adventure; Sketches & Note 60 Days In Europe karya Fai Zakaria yang dilancarkan hari ini (7 November 2015). Bertempat di kafe santai, The Library Coffee Bar, Avenue K, Kuala Lumpur, majlis pelancaran ini disempurnakan oleh tokoh terkenal sebagai pengarah filem dan kurator lukisan serta visual, U-Wei Haji Saari. Turut hadir ialah Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).
Buku setebal 229 halaman yang diterbitkan dalam 2 versi bahasa (Melayu dan Inggeris) terbitan ITBM ini memuatkan lakaran dan catatan kembara penulis Fai Zakaria semasa mengembara di Eropah selama 60 hari. Dalam pengembaraannya antaranya di kota London, Vienna, Paris, Switzerland hingga ke Qatar, beliau banyak menginsafi diri berdasarkan pemerhatian sisi lain manusia, menaakul rasa hati, menilai hubungan kekeluargaan dan persahabatan serta pencarian dirinya sendiri. Semuanya dicurahkan melalui lukisan dan lakarannya yang banyak memaparkan bangunan, tempat dan bahan bersejarah berstruktur hebat seperti Der Austriabrunnen, Wiener Musikverein, Palais Schonbrunn, L'eglise De La Madeleine, The Broken Chair, Istana Warwick, Marble Arch dan banyak lagi.
Walaupun karya ini dikategorikan sebagai kembara seni, namun ia memaparkan pelbagai tema yang boleh diintepretasikan dalam kehidupan seperti pengabdian hamba kepada Tuhannya. Baginya, pengembaraan menjadikan seseorang itu sangat dekat dengan penciptanya. Ini termasuk nilai-nilai seperti persahabatan dan kekeluargaan, sejarah dan peradaban, pencarian makna diri dalam kehidupan, serta penghargaan kepada alam. Meneliti setiap halaman karya ini, pembaca bukan sahaja dapat menikmati lakaran dan foto peribadi, malah pembaca dapat menghayati setiap bait yang Fai Zakaria catatkan mengikut gerak perasaannya.
Sebagai seorang artis, beliau menyakini Lukisan dan Lakarannya adalah seperti Seni Puisi yang mempunyai kebebasan tersendiri. Sebelum ini, beliau merupakan pereka hiasan dalaman yang meninggalkan kerjaya tersebut bagi memberi fokus kepada kegiatan seni untuk amal serta mempunyai firma sendiri. Kerja-kerja seni untuk amal yang beliau usahakan telah membawanya sehingga ke beberapa pelosok dunia. Beliau menganggap setiap garisan, warna dan tekstur adalah "kata-kata" dalam menyampaikan maksud yang diluahkan sebagaimana seorang penyair.
Antara para artis yang hadir juga ialah Sani Sudin (Kopratasa) dan juga Pyan Habib.
Kedua-dua buku karya Fai Zakaria - Kembara Seorang Pelukis: Lakaran & Catatan 60 Hari di Eropah dan An Artist's Adventure; Sketches & Note 60 Days In Europe dijual pada harga RM50.00 (RM55.00 untuk Sabah & Sarawak) senaskhah. Buku ini didapati di kedai-kedai buku utama seluruh Malaysia, kedai Buku 1Malaysia serta pembelian secara dalam talian menerusi ecommerce.itbm.com.my