Followers

Wednesday, May 25, 2011

Foo Fighters : Back and Forth



"Back and Forth is like the Dumb and Dumber of rock documentary." - Dave Grohl


James Moll, pengarah dokumentari yang pernah memenangi anugerah Academy melalui filem dokumentari "The Last Days" pada tahun 1998 meminjam masa anggota-anggota Foo Fighters termasuklah bekas anggotanya iaitu William Goldsmith (dram dan Franz Stahl (gitar) untuk membentuk kronologi Foo Fighters sepanjang 16 tahun kewujudan mereka daripada sebuah band kecil hinggalah bertaraf mega dengan audiens sebesar Stadium Wembley.

Dokumentari ini dari segi perjalanannya hampir saja seperti tulisan saya dalam cover story Foo Fighters ( dalam ROTTW V.158, 2010 ) jadi anda sudah boleh bayangkan bagaimana isi dokumentari ini dan sudah pasti gitaris dan vokalisnya, Dave Grohl menjadi fokus kepada dokumentari ini. Cuma saya tak menghabiskan bab penghujung dokumentari ini iaitu sesi rakaman Wasting Light yang dipaparkan dalam keadaan tanpa tekanan atau senang saya sebut, 'mereka sudah mencapai puncak bahagianya'.

Sejak ianya filem tentang Foo Fighters, maka ada beberapa bab yang saya harap dapat dicungkil pengarahnya seperti permulaan Grohl dengan band-band terawalnya seperti Scream tetapi ia tidak dipaparkan. Ia terus dimulakan dengan bab Nirvana, introduksi oleh Butch Vig tentang reaksinya ketika melihat Dave Grohl membelasah set dram pada sesi album "Nevermind".

Dokumentari ini secara jelas dihasilkan untuk peminat Foo Fighters sahaja kerana mereka lebih senang merasai dan mengaitkan muziknya dengan persembahan visual dokumentari ini. Dokumentari muzikal ini mahu menampilkan drama di sebalik kejayaan Foo Fighters tetapi mengenali perwatakan Grohl serta muzik Foo Fighters, perkara ini nampak sukar. Nirvana lebih banyak drama dan kalau dijadikan filem, lebih rumit subplotnya. Drama Foo Fighters pada khalayak mungkinlah kesukaran Grohl untuk membuang imejnya sebagai bekas pemain dram Nirvana. Anggota-anggota band yang keluar masuk itu perkara biasa yang berlaku pada hampir semua band yang ada di muka bumi ini. Tetapi anda tetap mahu menonton filem ini untuk mendengar dari mulut pemain dram Sunny Day Real Estate sendiri , William Goldsmith rekasinya saat dia mendapat tahu rakaman dram yang dilakukannya untuk album The Colour and the Shape dibuang dan dirakam semula oleh Dave Grohl kerana frontman Foo Fighters itu mahukan trek dram seperti yang dibayangkannya dan visi ini tidak dikongsi Goldsmith. Menjadi pemain dram untuk band yang ditubuhkan oleh bekas pemain dram sebuah band yang besar sememangnya satu tugas dan tanggungjawab yang besar untuk digalas.

Kemudian masuk pula Taylor Hawkins yang ketika itu sudahpun menempa nama sebagai pemain dram tour untuk Alanis Morissette yang agak popular ketika Foo Fighters sedang mahu bermula tetapi dia bertindak menyertai Foo Fighters yang masih lagi sebuah band yang kecil kerana dia mahu menyertai sebuah band dan bukan pemuzik iringan untuk penyanyi terkenal.

Tapi pada saya bab yang paling menarik dalam dokumentari ini ialah penyertaan Pat Smear, gitaris band punk rock legenda The Germs ke dalam Foo Fighters. Grohl yang menceritakan kembali saat ketika mendengar berita kemasukan Pat Smear ke dalam Nirvana sebelumnya, memberikan reaksi tak percaya yang idola punk rocknya itu 'masih hidup'. Dan dia sekali lagi tak percaya bila Pat turut memberitahunya yang Pat ingin meninggalkan Foo Fighters kerana dia melihat Pat sebagai anggota yang tiada masalah langsung dalam band. Ada sisi komedi di sini, jadi pada saya walaupun ianya sebuah filem dokumentari, ianya tidak begitu berat untuk ditonton. Elemen muzikal itulah yang menghidupkan dokumentari ini.

Secara kesimpulannya, ini sebuah dokumentari yang baik tetapi akan jadi lebih baik jika James Moll cuba mencungkil lebih banyak cerita di sebalik lagu-lagu Foo Fighters (walaupun pada permulaan ada menceritakan bagaimana Grohl mendapat ilham untuk menulis lagu "Enough Space" sebagai lagu pembuka konsert Foo Fighters). Pada umum pula, ini merupakan promosi 2 jam yang baik bagi album terbaru Foo Fighters, Wasting Light yang baru sahaja keluar April lalu.

p/s: penulis menyaksikan tayangan preview dokumentari Back and Forth di Cineleisure, Damansara pada 24 Mei 2011 lalu bersama dengan seseorang yang penulis sangat maklum akan hardcorenya dia pada Dave Grohl. "berdentum-dentam dalam panggung!" katanya... terima kasih kepada pihak Sony Music Malaysia atas jemputan ini.

Related Posts with Thumbnails