Alexander Cooper ni budak biasa je. Tapi malangnya, hidup dia macam sumpahan — bangun pagi ada peristiwa malang yang dah tunggu dia. Tergolek depan awek, chewing gum sangkut kat rambut, dan paling menyakitkan hati, tak ada siapa dalam keluarga dia yang ambil kisah pun. Mak, ayah, abang, kakak — semua hidup dalam zon selamat. Semua nampak senang, sempurna, dan bebas dari sebarang bala bencana.
Sampailah tiba hari lahir Alexander, bila dia buat satu permintaan. Dia nak satu hari di mana ahli keluarga dia pulak yang rasa ‘hari celaka’ macam mana yang dia hadap hari-hari. Dan dari situlah bermula segala jenis kekecohan — kereta terbakar, temuduga kerja jadi huru-hara, persembahan sekolah lintang-pukang, dan rumah tangga mula bergoyang.
Tapi, walaupun cerita ni pada asasnya pasal budak lelaki yang frust dengan nasib hidup dia, filem ni macam lupa siapa watak utama sebenar. Nama Alexander siap dijaja kat tajuk, tapi bila sampai kat layar, spotlight banyak sangat diberi kat mak ayah dia — Steve Carell dan Jennifer Garner. Bukan nak kata dua pelakon tu tak bagus. Mereka memang bawa watak dengan baik. Tapi bila fokus terlalu berat sebelah, Alexander jadi macam pelakon tambahan dalam cerita dia sendiri.
Ed Oxenbould yang bawa watak Alexander pun nampak natural, tapi tak diberi cukup ruang untuk berkembang. Bila kita nak rasa simpati kat dia, tiba-tiba cerita dah melompat balik ke masalah bapak dia yang gagal handle temuduga atau mak dia yang kalut dengan majlis buku.
Malangnya, segala kekacauan dalam filem ini tidak pun mendekati skala malapetaka. Jika dibandingkan dengan filem-filem Roland Emmerich seperti The Day After Tomorrow atau 2012, hari malang dalam hidup Alexander sekeluarga ini tidak lebih daripada gangguan kecil — kek terbakar, kereta rosak, dan temuduga kerja yang tidak menjadi. Dalam dunia Emmerich, semua itu mungkin sekadar permulaan babak pembukaan. Di sini, ia sudah dianggap klimaks.
Dari sudut pengarahan, Miguel Arteta main selamat. Segalanya berjalan lancar, tapi terlalu formula. Jenis cerita yang kita boleh agak apa jadi lepas ni. Skrip dia pula seolah-olah tertakluk pada ‘buku panduan komedi keluarga Disney’ — jangan terlalu kasar, jangan terlalu kelam-kabut, dan semua kena ada ending yang bahagia.
Secara keseluruhan, filem ni bukan buruk. Tapi dia tak cukup gila, tak cukup berani, dan tak cukup ‘pecah’. Alexander patut jadi nadi cerita, tapi dibiarkan hanyut macam adik bongsu dalam keluarga yang semua orang sibuk dengan hal sendiri. Kalau Disney sanggup ambil risiko lebih sikit — dari segi skrip, emosi, dan chaos — mungkin cerita ni boleh jadi betul-betul memorable. Tapi dalam bentuk sekarang, ia hanyalah satu lagi produk ‘safe zone’ yang sesuai untuk tontonan Ahad petang, tapi akan terus dilupakan bila Isnin menjelma.
Penilaian: 2.5/5
Catat Ulasan
0Ulasan