Genghis Tron: Terlalu “PlayStation” untuk Generasi Nintendo

Blitzenius
By -
0

Menghuraikan genre muzik Genghis Tron bukanlah tugas yang mudah. Jika hendak dibandingkan, muzik mereka mungkin tampak senada dengan kelompok ‘Nintendocore’ seperti yang dipopularkan oleh Horse The Band, namun hakikatnya Genghis Tron jauh lebih kompleks — barangkali terlalu PlayStation edisi kedua untuk generasi yang dibesarkan dengan Nintendo.


Pada peringkat awal kemunculan mereka sekitar tahun 2004, Genghis Tron sering dilabel sebagai kumpulan cybergrind — istilah yang merujuk kepada muzik grindcore yang digabung dengan elemen elektronik dan synthesizer. Namun begitu, mereka tidak kekal dalam satu acuan sahaja. Seiring perkembangan muzik mereka, turut diperkenalkan ialah pengaruh dari genre seperti IDM (Intelligent Dance Music), power noise, doom, industrial, dan juga ambient.

Kebergantungan mereka terhadap papan kekunci (keyboard) sebagai teras muzik ekstrem mereka melahirkan suasana bunyi yang futuristik dan mendekati dunia dystopian — sebuah wilayah sonik yang jarang diterokai secara serius dalam dunia muzik berat.

Dianggotai oleh tiga ahli — Mookie Singerman (vokal dan keyboard), Michael Sochynsky (keyboard dan pengaturcaraan dram), serta Hamilton Jordan (gitar dan pengaturcaraan dram) — Genghis Tron tidak menggunakan pemain dram mahupun bass secara fizikal. Sebaliknya, semua bunyian dram mereka dibina secara digital menggunakan perisian seperti FL Studio dan Ableton Live. Ketiga-tiganya merupakan graduan Kolej Vassar dan berasal dari Poughkeepsie, New York. Mereka secara berseloroh mengakui bahawa di sebalik kekalutan sonik yang dibawa, mereka hanyalah sekumpulan nerd — lengkap dengan kaca mata bingkai tebal.

Tanpa mengenali wajah mereka, pendengar mungkin menyangka bahawa vokalis mereka, Mookie, memiliki persona yang gelap dan garang — persepsi yang terbina melalui vokal monster-nya yang agresif. Namun, realitinya jauh lebih sederhana. Antara pengaruh utama mereka termasuklah Botch, Aphex Twin dan Nine Inch Nails, menunjukkan kecenderungan kepada kedua-dua aliran muzik ekstrem dan eksperimental.

Perjalanan mereka bermula dengan demo Laser Bitch pada tahun 2004, yang kemudiannya membawa kepada tiga EP di bawah label bebas Crucial Blast: Cloak of Love (2005), Cape of Hate (2006), dan Triple Black Diamond (2007). Album penuh pertama mereka, Dead Mountain Mouth (2006), juga diterbitkan di bawah Crucial Blast dan dirakam dengan sentuhan penerbit terkenal Kurt Ballou, pemain gitar band hardcore Converge.

Dead Mountain Mouth tampil dengan tema-tema eksistensial seperti keterasingan, ketidakharmonian, dan ketandusan hidup — elemen yang dikaitkan secara langsung dengan puisi klasik T.S. Eliot, The Waste Land. Album ini mendapat pujian daripada pengkritik, sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kumpulan yang serius dan unik dalam pendekatan mereka.

Setelah menjelajah bersama band seperti Behold… The Arctopus, Converge, Kylesa, Gaza, dan The Dillinger Escape Plan, Genghis Tron kembali ke studio milik Kurt Ballou, GodCity Studio, antara Ogos dan September 2007 untuk merakam album baharu. Kali ini, mereka memilih untuk bekerjasama dengan label terkemuka Relapse Records — label yang terkenal dengan rilisan berpengaruh seperti Dillinger Escape Plan, Mastodon dan Baroness.

Hasilnya, Board Up the House, album penuh kedua mereka, diterbitkan pada 19 Februari 2008. Album ini memperlihatkan penulisan yang lebih matang, struktur yang lebih kompleks, dan sentuhan synth yang lebih epik. Lagu "The Feast" turut menampilkan vokal undangan Greg Puciato dari The Dillinger Escape Plan — kolaborasi yang menambahkan lagi daya tarikan sonik album ini.

Walaupun mereka kini sibuk dengan jelajah promosi Board Up the House, Genghis Tron masih sempat meluangkan masa untuk aktiviti santai seperti bermain boling — di sebuah pusat boling yang, secara kebetulan atau tidak, memainkan album pertama Metallica sebagai muzik latar. Suatu pertemuan aneh antara zaman dan genre — sama seperti muzik mereka sendiri.


Nota: Ini merupakan daftar semula untuk artikel Genghis Tron yang pernah diterbitkan di majalah ROTTW sekitar 2008. Status Genghis Tron ialah hiatus antara 2010 ke 2020. Jadi saya kemaskini sedikit tentang band ini sekarang seperti di bawah: 

Pada 10 Ogos 2020, kumpulan Genghis Tron mengumumkan bahawa mereka telah kembali dari hiatus dan mula merakamkan album ketiga mereka bersama penerbit Kurt Ballou. Kemunculan semula kali ini turut menampilkan penambahan anggota baru, Nick Yacyshyn sebagai pemain dram—merupakan pemain dram pertama kumpulan ini setelah sekian lama hanya menggunakan mesin dram dalam rakaman terdahulu. Pengasas merangkap vokalis asal, Mookie Singerman, tidak kembali bersama kumpulan dan telah digantikan oleh Tony Wolski.


Pada Januari 2021, Genghis Tron mengumumkan bahawa album ketiga mereka yang diberi judul Dream Weapon yang dilancarkan pada 26 Mac. Album ini menandakan perubahan ketara daripada bunyi asal kumpulan yang berat kepada pendekatan yang lebih bersifat meditatif, hipnotik dan mungkin juga psikedelik. Rakaman ini langsung tidak mengandungi dram blast beats mahupun jeritan vokal seperti dalam karya-karya terdahulu mereka.

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)