Followers

Monday, November 02, 2015

Sidang media Malam Kalimah Cinta menampilkan Hafiz Hamidun dan Opick

Semalam di Platinum Sentral telah berlangsunya sidang media Malam Kalimah Cinta yang menampilkan Hafiz Hamidun dan Opick bersempena dengan Maulidur Rasul pada 23, 24 dan 25 Disember ini. Mask Team dan Indigital Sdn Bhd dengan kerjasama Istana Budaya akan menganjurkan persembahan pentas ini bertempat di Istana Budaya di mana ia bakal menyajikan para penonton dengan persembahan istimewa dari kedua penyanyi popular Nusantara itu diiringi komposisi muzikal penuh yang akan diselang-selikan dengan alunan zikir serta selawat. Opick yang akan membuka persembahan Malam Kalimah Cinta pada 23 Disember ini bakal tampil bersama kumpulan pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia untuk mengiringi persembahan beliau manakala Hafiz Hamidun akan menerajui pentas Istana Budaya pada 24 dan 25 Disember ini di mana dia tampil bersama kumpulan pemuzik handalan di bawah bimbingan pengarah muzik terkenal, Lok U.

Menurut Hafiz Hamidun, beliau akan menyajikan para penonton dengan 20 buah lagu termasuk 2 buah lagu duet bersama artis jemputan yang akan diumumkan tidak lama lagi. Hafiz juga dijangka akan membawakan beberapa buah lagu dari album terbaru beliau yang kini masih menjalani proses rakaman di beberapa buah negara. Selain persembahan berbentuk halwa telinga, para penonton juga bakal disajikan dengan persembahanpenuh multimedia berserta efek khas yang digabungkan bersama iringan nasyid, zikir dan selawat dari kedua munsyid terbabit.

“Kami mahu menawarkan kelainan di Istana Budaya bersempena sambutan Maulidur Rasul kelak. Justeru, penganjuran Malam Kalimah Cinta dilihat bertepatan dengan tema tersebut. Pemilihan yang dibuat ini adalah berdasarkan kepada potensi serta permintaan semasa masyarakat yang tinggi terhadap hiburan berunsurkan kerohanian, ” jelas Dato’ Juhari Shaarani selaku Ketua Pengarah Istana Budaya. 

Bagi wakil penganjur dan penerbit bersama, Mohd Pauzi bin Abd Samad dari Indigital, biarpun Hafiz Hamidun tidak bernaung di syarikat rakamannya tetapi pemilihan Hafiz dilihat sesuai dan bertepatan dengan persembahan yang untuk mengingati perjuangan Rasulullah s.a.w.

Malam Kalimah Cinta menawarkan tiket pada harga RM85, RM105, RM155, RM185, RM205 dan RM255. Tempahan awal tiket boleh dilakukan menerusi laman web AirAsia RedTix atau di kaunter Box Office, Istana Budaya mulai' 30 Oktober 2015.

No comments:

Related Posts with Thumbnails