Followers

Sunday, August 02, 2015

IKEA, KEDAI REKOD, THE SMITHS, T-SHIRT JOY DIVISION, RATU SINEMA INDIE DAN SENARAI YANG BERTERUSAN...: Ulasan filem (500) Days of Summer

Tom: What happens if you fall in love?
Summer: Well, you don't believe that, do you?
Tom: It's love. It's not Santa Claus.

Mengingati semula filem ini yang merupakan filem pertama arahan Marc Webb selepas sekian lama mengarah banyak video muzik, ada beberapa perkara bagi saya yang menjadi kekuatan bagi (500) Days of Summer (500DOS). Premis percintaan antara dua insan itu sudah teramat biasa kita lihat di layar perak tetapi jalinan cerita yang dibentuk di sebalik gaya tidak linear yang dibawakan oleh Marc dengan rujukan muzik atau 'pop culture'nya membuatkan filem ini begitu istimewa bagi saya (juga menyakitkan kerana ada kebenarannya).

Mula-mula sekali, kita ada Summer Finn, watak wanita yang menegur Tom Hansen di lif. Dia menegur Tom kerana lagu yang didengar Tom pada 'headphone'nya. Lagu The Smiths iaitu "There Is A Light That Never Goes Out", lagu yang disukai Summer sehinggakan dia turut menyanyi. Anda merasa pertemuan ini indah kerana jarang-jarang berlaku di tempat kerja ada orang menegur kerana lagu yang anda dengar yang bukan lagu popular pun. Baiklah, saya terlalu dramatik bila masuk bab pertemuan Tom dan Summer ini tetapi cerita selepas itu lebih menyakitkan. Ia tidak berakhir dengan sesuatu yang menggembirakan. Lalu anda bertanya sendiri apa makna ini semua? Kita melihat pada permulaan filem ini iaitu ketika datang suara narator selepas adegan Tom dan Summer bertemu di sebuah taman di atas bukit (dan tangan saling bersentuhan).

Suara narator ini memberi pengenalan kepada Tom dan Summer sebagai watak utama dan ini penting dalam memberitahu akan kontradiksi kedua-dua watak ini dan yang lebih penting, betapa ini bukan kisah cinta tetapi cerita tentang cinta. Faham maksudnya? Baiklah, saya akan memudahkan kalian. Jika disebut sebuah filem cinta, ramai yang dapat mengagak ianya cerita dua watak utama yang... bercinta. Tetapi melalui 500DOS, ia lebih kepada pertanyaan buat penonton, apakah maknanya cinta? Ini kerana sepanjang cerita, watak Summer tak pernah pun mencintai Tom. Tom menyangka dia di alam percintaan di sebalik perbualan yang berkisar tentang makna cinta sepanjang mengenali Summer hinggalah Tom mula belajar tentang makna cinta ini, itupun selepas perpisahannya dengan Summer, selepas tak dapat meneruskan perkara yang utama di dalam hidupnya seperti kerja dan cita-citanya.

Tom pada permulaan filem digambarkan sebagai anak jati New Jersey yang merasakan dia takkan pernah benar-benar gembira sehinggalah dia bertemu seseorang yang tepat buatnya. Di sini juga, Tom digambarkan sebagai terdedah dengan muzik pop British (yang ada dalam senarai ialah The Cure, The Smiths dan Joy Division malah memakai t-shirt dengan grafik Unknown Pleasures sejak kecil lagi). Dia menonton filem The Graduate dan mengambil filem ini sebagai rujukan tetapi rujukan ini salah kerana interpretasinya terhadap filem ini yang agak 'ke laut'. Summer Finn dari Michigan pula  sebaliknya. Keluarganya berantakan dan dia disebut cuma sukakan dua perkara, iaitu membela rambut panjangnya dan memotong jika dia merasa mahu memotongnya. Bila Tom bertemu Summer dia merasakan Summer ialah gadis yang dianggap satu-satunya untuk dirinya sedang Summer tidak merasa begitu.

Formula kisah cinta Hollywood biasanya begini : lelaki bertemu perempuan, mereka keluar berpacaran sehinggalah si perempuan memutuskan perhubungan dengan si lelaki kerana si lelaki telah melakukan sesuatu yang bodoh yang membuatkan si lelaki cuba untuk memenangi semula hati si perempuan dengan pelbagai cara sehingga mereka bersama semula, bahagia hingga ke akhirnya. Berlainan pula dengan 500DOS apabila watak utamanya, Tom dan Summer bertemu, mereka keluar berpacaran dan apa yang anda tahu selepas itu, Summer mahu memutuskan perhubungan dengan Tom kerana dia tidak mencintai Tom. Habis di situ.Premis begini sebenarnya bukanlah yang pertama dalam sinema Hollywood, tetapi tak ramai penerbit yang mahu mengambil pendekatan begini kerana risiko tak ramai yang mahu melihat sebuah perhubungan yang retak di akhir cerita. Seolah-olah penonton perlu didodoikan dengan sebuah pengakhiran yang membahagiankan. Perlu jadi begitu. Secara tak langsung penonton filem cinta tipikal diibaratkan seperti Tom. Tom fikir dia tahu semuanya. Dia fikir sebuah perhubungan yang sedang berjalan dengan baik ialah sebuah percintaan sedang dia masih tak jelas apa maknanya percintaan.

Namun, filem ini bukanlah bersifat mahu mendidik penontonnya. Cuma memberitahu sesuatu perkara atau peristiwa mungkin ada maksud lainnya jika ia dilihat dari sudut yang berbeza. Seperti penulis sendiri, mungkinlah kerana terasa beberapa perkara di dalam filem ini yang menjentik dirinya (siapa yang tak pernah berasa nak berlari di dalam gedung IKEA atau tersentuh dengan paparan infografik tentang seorang gadis lengkap dengan rujukan Belle and Sebastian, kali kedua selepas filem High Fidelity). Dua pembawa wataknya, Joseph Gordon-Levitt dan Zooey Deschanel pula bukan komoditi besar Hollywood tetapi naik namanya selepas filem ini. Bonus pada Zooey ialah kerana dia sebenarnya merupakan ratu dalam dunia muzik indie pop kerana menganggotai duo She and Him (dan pernah berkahwin dengan Ben Gibbard dari band indie rock Death Cab for Cutie) jadi pembawaan watak Summer amat tepat baginya jika dibandingkan dengan pelakon yang tak punya latarbelakang muzik, atau mungkinlah penulis lakonlayarnya Scott Neustadter dan Michael H. Weber memang dah tulis watak Summer ini 'custom made' buat Zooey.



Arahan : Marc Webb
Cerita dan lakonlayar: Scott Neustadter, Michael H. Weber
Pelakon: Joseph Gordon-Levitt, Zooey Deschanel, Geoffrey Arend, Chloë Grace Moretz, Matthew Gray Gubler, Clark Gregg, Patricia Belcher, Rachel Boston, Minka Kelly, Maile Flanagan, Yvette Nicole Brown, Olivia Bagg.
Narator: Richard McGonagle
Muzik: Mychael Danna, Rob Simonsen
Sinematografi: Eric Steelberg
Suntingan: Alan Edward Bell
Edaran: Fox Searchlight Pictures
Tarikh tayang: 17 Januari 2009 (Sundance) , 7 Ogos 2009 (US)

1 comment:

Adi Herman said...

please please please let me get what i want

Related Posts with Thumbnails