Saya insan yang sukar sekali berdepan dengan hari bahagia seseorang (atau ketentuan yang bukanlah milik saya yang hakiki) dengan sifat yang terang. Saya tak tahu apa masalah saya. Saya kira ia bermula apabila saya mula meletakkkan salah itu pada bahu orang lain yang membuatkan hidup saya huru-hara. Huru-hara hingga saya susah nak bayar duit sewa rumah yang asyik tertunggak, susah nak bayar hutang belajar dulu yang membuatkan saya tak dapat lari ke luar negara meninggalkan kenyataan yang anda - insan yang pernah saya cintai bakal mendirikan rumah tangga dengan orang lain.
Ia jadi beban buat saya. Ia mengganggu saya dan jadi mimpi ngeri.
Akan tetapi saya rasa legalah juga sebab sebenarnya sekurang-kurangnya beban yang dipikul dahulu telah terlepas dari bahu. Yakni, saya dibenarkan untuk melupakan tarikh lahir anda apabila tiba waktunya kerana saya dibenarkan untuk berbuat begitu. Bermakna saya juga dibenarkan untuk tidak melakukan tanggungjawab di mana setiap tahun saya perlu menghasilkan kad ucapan khas untuk hari lahir anda dalam bentuk media campuan sejak anda amat berkira dengan kad ucapan ini. Nilainya perlu tinggi, bukannya berharga 30 sen hatta lima ringgit dengan tulisan salinannya diilhamkan oleh Tom Hansen. Kad ucapan hari lahir anda selalunya amat eksklusif dan tak boleh dibeli dengan mudah di kompleks membeli-belah dan harganya amat mahal sekali. Saya rasa lega bila tak perlu lagi melakukan rutin tahunan ini yang jelas amat membebankan dan banyak membuang waktu saya. Saya rasa tak ikhlas melakukannya pada insan yang saya tak boleh cintai lagi tapi saya buatkan juga kerana anda yang terhegeh-hegeh meminta-minta supaya saya menghasilkannya, kelak anda akan mengungkit pada hasil seni kad ucapan yang pernah saya hasilkan pada gadis-gadis lain dengan penuh keikhlasan tanpa banyak bicara sedangkan mereka tak pernah pun meminta apatah lagi mencintai saya walhal itu bukanlah sebab musababnya kad ucapan itu dihasilkan. Saya buatkan anda kad setiap tahun selepas perpisahan legenda kita kerana rasa bersalah saya bilamana saya tidak melakukan perkara yang serupa semasa kita punya hubungan yang romantik dahulu. Saya perlu rasa bersyukur sekarang kerana terlepas dari segala beban yang amat menyeksakan itu.
.
Dalam sebuah legenda yang kini jadi mitos yang sering dikitar semula, pensyarah yang pernah mengajar saya seni lukis dapat peluang mendirikan rumah tangga selepas menang hadiah utama bakat seni dengan lukisan tahap muzium seni New York yang hadir seratus tahun sekali buat saya rasa untuk mengulang kejayaan yang serupa amat tipis sedang usia saya kian lewat dan saya amat pemalas.
Nota: dari daftar Android bertarikh 4 Mei 2015
Catat Ulasan
0Ulasan