Followers

Sunday, January 10, 2016

Perasmian pameran ‪#‎tanahairku‬: Two Decades of Bringing Malaysians Together di Galeri Petronas

Pada 6 Januari lalu telah berlangsungnya perasmian pameran ‪#‎tanahairku‬: Two Decades of Bringing Malaysians Together di Galeri Petronas. Ianya dirasmikan oleh Puan Liza Zahariah Abdul Rahman, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Komunikasi Strategik PETRONAS. Pameran ini telahpun bermula dari 10 Disember 2015 hingga 7 Februari depan.

Dalam ucapannya, Puan Liza berkata, pameran #tanahairku menyorot kembali perpaduan negara dan keharmonian sosial yang membentuk sebahagian daripada tunggak kekuatan masyarakat Malaysia sejak sekian lama.

"Kami sentiasa berhasrat untuk membantu menyemai dan menghidupkan nilai asas dalam pelbagai tradisi dan warisan budaya yang dikongsi bersama dan menyatupadukan semua rakyat Malaysia dengan latar belakang berlainan. Iklan musim perayaan Petronas menggambarkan kekuatan semangat dan identiti rakyat Malaysia yang unik dalam mempromosikan perpaduan yang tidak terbatas oleh sempadan perkauman dan keagamaan."

Diilhamkan daripada puisi Tanahairku nukilan Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang, pameran ini dibahagikan kepada enam seksyen, antaranya Bangga Menjadi Rakyat Malaysia, Perbezaan Kita, Kekuatan Kita, Persahabatan Yang Berkekalan dan Apalah Erti Hidup Tanpa Kasih Sayang?

Melalui pameran ini, ia memaparkan iklan-iklan TV komersial, filem web, pengiklanan surat khabar dari PETRONAS yang mempunyai nilai-nilai penyatuan sebagai rakyat Malaysia. Iklan Petronas sempena kemerdekaan dan musim perayaannya antara yang masih diingati dan dinanti kerana ianya menyampaikan cerita yang saling berkait dengan masyarakat di Malaysia. Bermula dengan iklan Little Indian Boy arahan pengarah terkenal, Allahyarham Yasmin Ahmad, ia mengimbau kembali zaman kemerdekaan negara pada tahun 1957, disusuli iklan-iklan seterusnya seperti Local Hero (1998) dengan dialog 'kasut Gombak'nya, lakonan Vanidah Imran dan Ashraf Sinclair, Boat Race (2000), Param Bicycle (2003), Man Gyver (2008, dengan penampilan Afdlin Shauki) dan Tau Fu Fah (2013).

Satu lagi iklan Petronas sempena kemerdekaan yang diingati ialah iklan yang lebih dikenali sebagai "Tan Hong Ming in love" yang disiarkan sembilan tahun lalu di mana Tan Hong Ming, seorang pelajar sekolah rendah meluahkan perasaan cinta terhadap rakan sekolahnya, Ummi Khazriena. Menariknya, pada hari perasmian pameran, dua pelakon iklan ini turut tampil sebagai satu reunion bersempena pameran, berlatarkan prop-prop yang menggambarkan suasana di dalam iklan lakonan mereka.

Selain itu, satu ruang #tanahairku Street Art turut menampilkan hasil seni karya pelukis-pelukis tempatan seperti di Johor, Sabah dan Sarawak di bawah projek seni jalanan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini yang turut berkongsi tema dengan pameran ini.

Terletak di Aras 3, Suria KLCC,pameran #tanahairku bermula dari 10 Disember 2015 hingga 7 Februari 2016, dibuka pada hari Selasa hingga Ahad mulai pukul 10 pagi hingga 8 malam. Masuk adalah percuma.

No comments:

Related Posts with Thumbnails