Followers

Friday, March 12, 2021

TIGA DEKAD ALBUM OUT OF TIME DARI R.E.M.

Hari ini genap 30 tahun album studio ketujuh band R.E.M. yang bertajuk Out of Time dilancarkan buat pendengar di mana melalui single pertama mereka, "Losing My Religion" ia telah mengubah status band ini daripada sebuah band rock cult dari Athens kepada bintang antarabangsa. Album ini berjaya mengungguli carta album di US selama 109 minggu dengan ia terjual melebihi empat juta salinan di Amerika Syarikat dan 18 juta salinan di seluruh dunia selain memberikan tiga kemenangan anugerah Grammy 1992 untuk kategori Album Alternatif Terbaik dan dua lagi untuk single "Losing My Religion."


Walaupun syarikat rakaman mereka, Warner Bros. mahukan lagu "Shiny Happy People" yang lebih rancak sebagai single pertama album ini, R.E.M. berkeputusan memilih "Losing My Religion" kerana ia bersifat esoterik dan menampilkan perubahan yang lebih eksperimental dengan gitaris Peter Buck yang mula mendalami instrumen mandolin sejak album terdahulu, Green menjadikan instrumen ini sebagai dasar pembikinan lagu ini. Melalui liriknya pula, frasa 'losing my religion' sebenarnya ialah dari dialek bahagian selatan Amerika yang memberi maksud hilang sabar atau amat kecewa dan tidaklah ia pula memberi konotasi keagamaan walaupun ada yang tersalah anggap sebaliknya. Penyanyi dan juga penulis liriknya, Michael Stipe menyatakan "Losing My Religion" ialah sebuah lagu cinta tak berbalas di mana dia menulis berdasarkan perspektif satu watak yang direkanya yang punya obsesi yang mana ia dipengaruhi oleh lagu "Every Breath You Take" dari The Police. 

Menurut pemain dram Bill Berry, tajuk album Out of Time pula dipilih kerana semasa penghasilkan kulit albumnya, mereka memberitahu perekanya yang mereka dah tak ada masa dan mahukan ianya segera. Ia juga merujuk pada satu waktu di mana band-band zaman alternatif yang sedang meningkat naik ketika itu seperti Soundgarden dan Nirvana juga sedang menghasilkan album. R.E.M. memang tak ada masa, jika tidak mereka pasti akan tenggelam dek populariti album Nevermind yang mungkin keluar lebih awal. 


Tahun lalu, lagu R.E.M. yang bertajuk "It's The End of The World As We Know It (And I Feel Fine)" dari album Document (1987) tiba-tiba jadi popular semula apabila ia naik di carta iTunes Top 100 kerana dianggap runut bunyi semasa sedang satu dunia panik dengan wabak Coronavirus. Baca: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2648603965237107&id=234250873339107


1 comment:

Adi Herman said...

It's The End of The World As We Know It (And I Feel Fine)

sangat iconic lagu ni

Related Posts with Thumbnails