Followers

Sunday, August 23, 2015

[GAMBAR] Sekitar Pelancaran Gila-Gila Keluaran Khas #777 : 'Karya Terbaik Gila-Gila Sepanjang Tempoh 37 Tahun' di Galeri PETRONAS

Berikutan kejayaan pameran LAGI-LAGI GILA-GILA di Galeri PETRONAS, Gila-Gila Keluaran Khas #777 edisi terhad retro telah diterbitkan oleh barisan pelukis kartun majalah ikon ini untuk menampilkan karya terbaik dan cemerlang komik Gila-Gila sepanjang tempoh 37 tahun lepas.

Gila-Gila Keluaran Khas #777 telah dilancarkan oleh Galeri PETRONAS bersama Creative Enterprise di satu majlis yang diadakan di Galeri PETRONAS pada 31 Julai yang lalu.

Semasa berucap di majlis pelancaran, Pengarah Galeri PETRONAS, Rosli Abdul Rahim berkata Gila-Gila Keluaran Khas #777 ialah satu penghormatan yang amat wajar bagi pelukis kartun tempatan kerana sumbangan intelektual dan bersejarah mereka terhadap pembangunan seni kartun di Malaysia, dan pada masa yang sama mengetengahkan bakat mereka kepada orang ramai.“Kami berbangga dan sukacita untuk berganding bahu dengan pelukis kartun yang berbakat untuk bersama-sama menjayakan pameran ini, yang seterusnya membawa kepada penerbitan Gila-Gila Keluaran Khas #777. Kami juga berbesar hati untuk diberikan hak eksklusif untuk menjual majalah edisi terhad kepada peminat seni kartun di kedai galeri kami,” kata Rosli.

Menampilkan contoh unggul lawak jenaka Malaysia dan juga kebijaksanaan kritis pelukis kartun Gila-Gila, keluaran Gila-Gila Keluaran Khas #777 ialah koleksi karya retrospektif menyeluruh yang sulung, meliputi segmen paling popular yang amat diminati oleh pembaca sepanjang tempoh 37 tahun lepas. Ini termasuk “Jungle Jokes” dan “Kalau” oleh Jaafar Taib, “Atuk”oleh Ujang , “Asmaradana” oleh Mishar dan “Lipat Lepat” by Azman Yusof”.

Gila-Gila Keluaran Khas #777 ialah buku komik setebal 150 muka surat yang merupakan kompilasi karya 40 pelukis kartun terkenal dan mengandungi segmen khas yang ditujukan kepada perintis seni kartun Malaysia seperti Mishar, Jaafar Taib, Zainal Buang Hussein, Azman Yusuf, Ujang dan ramai lagi.

Gila-Gila Keluaran Khas #777, yang mengambil masa hampir tiga bulan untuk disiapkan juga merakamkan sorotan penting sepanjang pameran LAGI-LAGI GILA-GILA yang berlangsung selama tiga bulan dari 14 April 2015.

LAGI-LAGI GILA-GILA merupakan pameran berasaskan seni lukisan kartun dan jenaka terbesar di Malaysia yang mengetengahkan 200 hasil karya seni ikonik dan asli Gila-Gila yang telah menarik lebih 28,000 pengunjung.

Sempena dengan pelancaran edisi khas ini, satu sesi bertemu dan beramah mesra eksklusif dengan Jaafar Taib, Mishar, Zainal Buang Hussein, AzmanYusuf dan Ujang turut diadakan untuk pembaca komik tegar dan penyokong Gila-Gila.

Semasa berucap di sesi bertemu dan beramah mesra, Jaafar Taib, Pengurus Besar Creative Enterprise, yang menerbitkan majalah Gila-Gila berkata barisan pelukis kartun sungguh terharu dengan penghargaan orang ramai terhadap majalah ini semasa pameran.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Galeri PETRONAS kerana menyediakan ruang untuk Gila-Gila memaparkan koleksi menyeluruh hasil seni ikonik dan asli yang telah menambat hati orang ramai terhadap seni kartun,” kata Jaafar.

Di samping itu, para peminat juga diberi autograf percuma dan peluang bergambar dengan artis selepas membeli Gila-Gila Keluaran Khas #777 edisi terhad.

Antara penerbitan terhad sebanyak 1,000 naskhah, 200 naskhah pertama Gila-GilaKeluaran Khas #777 adalah bernombor dan hanya boleh dibeli atas dasar siapa cepat dia dapat, secara eksklusif di Galeri PETRONAS. Naskhah bernombor dijual pada harga RM150 dan naskhah tidak bernombor pada harga RM50.

Diterbitkan setiap bulan oleh Creative Enterprise, Gila-Gila ialah wadah yang telah diterima umum dan sebahagian penting daripada lembaran sejarah yang mencerminkan kebijaksanaan minda pelukis kartun terkemuka Malaysia.Sejak diasaskan pada 1978, Gila-Gila, mencapai edaran puncak 200,000 naskhah bagi setiap keluaran, yang menghiburkan rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat dengan menyentuh isu kebudayaan, sosial, ekonomidan politik menerusi lawak jenaka.Pameran dan program anjuran Galeri PETRONAS adalah sejajar dengan falsafah PETRONAS yang melambangkan komitmen jangka panjang organisasi tersebut untuk memupuk minat artis tempatan dan menggalakkan pembangunan seni di Malaysia.

Kalau nak diikutkan, mahu saja saya kumpulkan tandatangan semua kartunis yang masih ada hari ini yang ditampilkan di majalah Gila-Gila keluaran khas#777 yang dilancarkan di Galeri Petronas. Empat rat pack utamanya: Jaafar Taib, Mishar, Azman Yusof dan Zainal Buang Hussein hadir untuk sesi tandatangan selain kartunis lain yang karier mereka bermula di GG seperti Asan, Ujang, Roslim, Asan, Kerengge dan Tazidi.

No comments:

Related Posts with Thumbnails