Followers

Saturday, May 09, 2015

Ulasan muzik: Warpaint - Warpaint LP

Seperkara yang agak merisaukan saya ialah apabila tidak memahami Warpaint yang saya cintai lagi. Kerana empat tahun itu satu penantian yang menyeksakan. Dan dalam jarak sepanjang itu, banyak perkara yang boleh berubah, banyak hati yang bakal atau telahpun terluka. (Bayangkan pula bila Tool, yang kali terakhir tampil dengan album ialah pada tahun 2006, muncul dengan album baru. Mungkin esok.)

Sebab itu juga saya ambil masa yang lama untuk tampil dengan ulasan ini. Saya jadi sibuk sampai tiada masa nak menelaah album ini secara konstruktif. Saya tak tau bilakah masa yang sangat sesuai untuk saya duduk, mendengar, menghargai album yang agung ini biarpun bukan sebuah album yang angkuh.

Warpaint melalui album ini mulanya muncul dengan single terawal, "Love Is To Die". Ini trek ketiga dari album bernama sendiri yang menangkap dan memukau saya, dengan Emily melambai-lambai melalui harmoni vokalnya. Sebagaimana yang sering tekankan setiap kali mendengar sebuah album dari band yang membikin album kedua dan seterusnya: tidak mengulang idea sama. Warpaint faham yang mereka tak perlu membikin album THE FOOL part 2. Tapi album bernama sendiri ini amat menguji kesetiaan. Ada masanya saya tak faham.

Akan tetapi walaubagaimana tak fahamnya saya dengan halatuju terkini Warpaint, trek 'Hi' tetap meredakan saya. Dan ini Warpaint yang jadi elektronik. Dram Stella yang minimalis dan berbunyi mesin. Penuh efek yang berkabus. "Biggy" membawa nada dan bunyian asing, sekali lagi, digabungkan dengan vokal Emily yang menusuk buat saya terawang dengan ambient Warpaint  (gitar berefek begini anda dapat dengar dengan kerap pada band Pitahati, lebih analog).

Katalah anda mahu mencari melodi, fitrah melodi bagi Warpaint adalah kelabu dan anda perlu pasang telinga, setajam-tajamnya, barulah anda menemuinya.

'Tesse' - wacana trip hop yang memang mengingatkan saya pada Portishead, Gorillaz, mungkin Radiohead pada fasa gila mereka, melodinya familiar bagi saya, penuh kemerduan. Emily paling menggoda saya melalui trek ini. Jenny Lee pula tak pernah diam dengan bassnya. Dah berapa trek saya dengar dia saja. Heck, satu album saya dengar dia je. Kalau saya boleh pinang Jenny sekarang, then I would. Tapi intro gitar akustik dan gemersik suara Emily yang syahdu pula, kalaulah saya boleh hidup dengan intro lagu ini saja buat sepanjang hidup saya....  untuk menggambarkan betapa saya jatuh cinta dengan lagu ini.

'Disco/Very' - seperti tajuknnya, psychedelia Warpaint memberitahu betapa mereka lahir di era yang salah. Mereka paling upbeat di trek ini dan tak kisah nak jadi apa dan apa pandangan anda terhadap mereka.

Dan demi  Tuhan, saya ingin tahu sangat apa yang dinyanyikan oleh Emily kerana ia kedengaran sangat kelabu (fitrah 'dreampop'). Emily memenjara saya di sebuah ruang yang gelap dan bergaung walaupun duduknya di depan saya saja.  Adakalannya ia berbunyi seperti "ice cream", atau dia humming mengikut melodi gitar atau elektronik. Tetapi selalunya saya mahu lagu itu tulisannya tentang saya. Supaya senang saya kaitkan dengan diri sendiri, semoga tulisan ini  hadir penuh makna (dan senang saya nak serang bekas kekasih, sebagai contohlah...). Sebab melodi saja tak cukup. Tapi, hey, Warpaint, mereka mara lagi dengan 'Feeling Right' yang punya drive yang baik, dan saya pula terpukau, mengikut saja.

Kalau saya buat tak endah dalam mendengar atau terlalu sibuk mengejar deadline, barangkali saya cuma tulis Warpaint dah jadi elektronik. Dan saya takkan tulis yang Warpaint berkoir penuh harmoni melalui "Drive". Dan yang paling penting, Warpaint membunuh saya melaui "Son" menghampiri penghujung album yang dimulakan dengan petikan piano dan vokal Emily penuh rintihan, dengan suasana suramnya, itupun mungkin saya tak tulis kalau saya ulas album ini tahun lalu. Sebenarnya bukan. Warpaint masih kekal sebagai satu unit band yang menghargai instrumen mereka dan penulisan lagu mereka. Kerana imej Emily tanpa gitarnya dalam video muzik "Love Is To Die" terlalu kuat, hingga saya hilang kata-kata.

Label: Rough Trade/Sony Music Import
Produser: Flood, Warpaint

Personel:
Warpaint: Emily Kokal, Theresa Wayman, Jenny Lee Lindberg, Stella Mozgaw

Fotografi: Chris Cunningham

No comments:

Related Posts with Thumbnails