F1 The Movie yang diulas selepas tak baca sebarang info dan anggap macam biopik....

Blitzenius
By -
0

Saya masuk ke pawagam tanpa membaca sebarang sinopsis. Tiada treler (adalah tonton sikit tapi tak sepenuhnya), tiada artikel awal, malah tajuknya yang ringkas – F1 – membuatkan saya menyangka ini sebuah biopik tentang pembentukan Formula Satu itu sendiri macam juga sebuah lagi produk Apple Original iaitu Killers of the Flower Moon yang saya panggil pembentukan FBI. Atau dokumentari bergaya fiksyen seperti Rush? Lebih-lebih lagi apabila babak awal dipandu oleh muzik Led Zeppelin, yang bukan calang-calang band untuk dilepaskan lesen lagunya. Saya mula-mula menyangka kita akan dibawa ke era 1970-an, kemudian sedikit rasa 80-an, sehinggalah visual dan dialog menolak anda ke dunia masa kini, lengkap dengan sindiran terhadap media sosial dan keperluan “engagement”. Nama F1 tu memang no brainer, tidak dipilih sekadar saja-saja.

Tapi tidak, ini bukan kisah pelumba sebenar, ia tentang Sonny Hayes – watak rekaan lakonan Brad Pitt – seorang bekas pelumba era 1990-an yang hidup tenat selepas kemalangan. Dia kini berlumba kecil-kecilan dan memandu teksi, sebelum dipujuk oleh sahabat lamanya, Ruben, untuk kembali semula ke dunia F1 – bukan untuk mencabar podium, tetapi untuk membimbing seorang pelumba muda bernama Joshua Pearce. Sonny mulanya keberatan, dan saya tertanya-tanya – apakah dia akan kembali ke litar kerana sayang kepada kawan, kerana mahu menebus masa lalu, atau kerana dia sebenarnya masih menagih satu kejuaraan yang belum pernah dimenanginya?


Apa yang berlaku seterusnya bukanlah kisah yang asing. Malah, kita pernah lihat dinamik begini berulang kali dalam filem-filem sukan: pelumba tua, pelumba muda, pasukan kecil yang dihimpit kuasa besar, dan akhirnya, sebuah pusingan akhir yang menentukan semangat. Tetapi yang menjadikan filem ini berbeza bukanlah apa yang berlaku, tetapi bagaimana ia dirakam. Ini bukan filem tentang perlumbaan – ini pengalaman berlumba itu sendiri. Kamera seolah-olah melekat pada suspensi kereta, bunyi enjin tidak direka untuk halwa telinga, tetapi untuk menggoncang dada, dan sudut pandang yang membuatkan kita rasa peluh di tangan pelumba itu sendiri.

Saya dapati diri saya beberapa kali menggenggam lengan kerusi. Jarang filem membuat saya lupa saya sedang menonton. F1 melakukannya, meskipun saya tahu skripnya tidak luar biasa, dan wataknya tidak akan kekal lama dalam ingatan. Tapi momen fizikalnya kuat. Seperti rollercoaster yang membuat anda rasa selamat dan cemas dalam masa yang sama.

Dan sebagai orang Malaysia, saya mencari-cari juga logo PETRONAS kebanggaan negara terpampang jelas – bukan hanya sekali, tapi berulang dalam setiap sudut penting pasukan gergasi. Ironinya, tanpa disebut secara langsung, PETRONAS dan pasukan Mercedes-AMG dilatari sebagai kuasa besar yang menghalang kemaraan pasukan kecil seperti APXGP. Tidak keterlaluan jika saya katakan PETRONAS diposisikan sebagai simbol kekuasaan yang harus ditentang. Ia lucu, pelik, dan sedikit membanggakan sebab PETRONAS macam orang jahat jugalah dalam filem ini bila nak sampai hujung-hujung. Bangga, doh! Well, inilah akibatnya bila dunia sebenar terlalu dekat dengan fiksyen.


F1 bukan filem untuk dicari makna baru. Ia bukan kisah mendalam, tetapi ia cukup untuk membuatkan kita lemas dalam kelajuan. Jika anda duduk dalam panggung dengan lapangkan dada dan tanpa harapan tinggi, mungkin anda akan keluar dengan sedikit gegaran – bukan dari cerita, tapi dari seluruh tubuh anda. Dan kadang-kadang, itu lebih jujur daripada drama air mata.

F1 The Movie kini di pawagam edaran Warner Bros. Pictures Malaysia.

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)