aku penat...
aku letih...
bantu aku...
tolong aku...
dapatkan kembali tidurku yang hilang
.
.
azzam supardi
hospital uitm
1.17am 30/6/17
Ina nota terakhir di laman Facebook milik penulis Azzam Supardi yang dikenali sebagai Toyon, penulis siri tulisan yang terkenal, Aku Hidup Dalam Blues (dengan ilustrasi oleh kartunis Aie yang mempopularkan fesyen grunge dan band Pearl Jam di kalangan pembaca tempatan, malah t-shirt dengan ilustrasi watak Sham dan Maizura dari AHDB begitu popular sehingga dijadikan versi bootleg) yang pernah diterbitkan di majalah Ujang pada pertengahan era 90'an. Siapa sangka tidur yang diimpikan oleh Azzam merupakan tidur buatnya untuk selama-lamanya. Azzam Supardi telah meninggal dunia di Hospital UiTM akibat sakit jantung selepas beberapa hari mendapat rawatan.
Di era penerbitan buku indie, Azzam dikenali melalui beberapa karya seperti Monolog Seorang Lelaki, Prequel Breakfast Blues, Pilo Toq (bersama O.P Zaharin, dan Bahruddin Bekri) dan 99 Stress Free Daddy, antaranya.
Allahyarham Azzam ialah seorang penulis yang terkenal dengan wit dan humor dalam serius sebagaimana yang tertulis dalam bionya: "...seorang lelaki yang bercakap dalam bahasa Melayu di Bucharest sepanjang masa tersadai selama 17 hari di Lapangan Terbang di ibu negara Romania itu dan pernah mengajar Bahasa Melayu di British Council of Cairo, Egypt. Kini menjadi editor dan penulis bebas untuk mana-mana penerbitan yang baik hati." Bagi yang sering mengikuti tulisan hariannya di Facebook pasti tahu dia seorang yang ceria yang sering mengusik isteri yang amat disayangi, Cikgu Rubi dan kemudian dia pula menjadi mangsa permainan celoteh nakal anak perempuannya Nisa yang petah berkata-kata (yang kemudian diabadikan dalam buku-buku terbitannya).
Antara entry-entry terakhir Azzam di Facebook miliknya ialah untuk menerbitkan kembali koleksi tulisan Aku Hidup Dalam Blues namun hajatnya tak kesampaian.
Berita tentang pemergian arwah telah disampaikan oleh abang iparnya. Al fatihah buat arwah Azzam Supardi. Semoga engkau tenang di sana.
1 comment:
innalillah wa innailaihi rojiun. masih lagi terkejut mendengar berita pemergian almarhum.
Post a Comment