Followers

Monday, June 29, 2015

Ulasan filem: MAGGIE, lakonan Arnold Schwarzenegger

Yang sering diperkatakan tentang Maggie ialah bagaimana persembahan Arnold Schwarzenegger itu berbeza dengan filem-filem lakonannya yang lain (yang sering saya ingat ialah aksi dan komedi). Malah Arnold yang jadi pakar algorithm dalam Escape Plan pun terasa canggung.

Melalui skrip tulisan John Scott III, pengarah yang masih baru dalam mengarah filem, Henry Hobson bijak memanipulasi bakat Arnold dengan meminimakan dialognya. Arnold tampil lebih serius, kurang fizikal walaupun masih memegang senapang sebagai Wade, seorang ayah yang cuba menjalankan tanggungjawab menjaga anaknya, Maggie yang diserang virus zombie. Arnold bukan baru dalam membawakan watak ayah, malah sejak filem Commando lagi. Di sini, emosi banyak dimainkan. Ayah saya ialah peminat besar Arnold dan saya amat pasti dia rasa lain melihat Arnold dalam filem ini (bosan pun ya juga sebab filem ini sangat perlahan).

Sebagai filem zombie juga, filem ini berbeza kerana kita lebih bersimpati dengan zombie. Mereka juga manusia, harus dilayan seperti manusia, bukan diasingkan. Mereka tidak memilih pengakhiran sebegitu dek kerana tiada pilihan selain menunggu ajal. Di sini, cabaran Wade ialah dalam meniti waktu-waktu yang masih berbaki bersama Maggie sebagai ayah dan anak sedang dunia melihat Maggie dengan pandangan berbeza malah dunia tak menginginkan Maggie hidup bersama mereka.

Saya melihat filem ini dilayar besar dengan gambarnya yang grainy, penggunan warna yang saya gambarkan hampir kepada southern gothic ala kulit album band ambient drone Earth malah dengan runut bunyi ambient dan sedikit doom yang menggambarkan dunia pasca apokalips, turut membawa kita ke daerah yang sama, tidak selesanya kita dengan persekitaran di mana segalanya tampak mati. Abigail Breslin sebagai pembawa watak Maggie pada saya ialah 'great contender' buat Chloë Grace Moretz kerana untuk watak sebegini khalayak lebih nampak  Chloë sebagai Maggie tetapi pada saya, Abigail membawa wataknya dengan cemerlang. Saya nampak bayang-bayang Paul Dano dalam diri Abigail, seolah-olah dia memang dibesarkan sebagai adik Paul dan tidak habis di set filem Little Miss Sunshine. Abigail ialah bakat yang menyinar yang seharusnya diperhatikan dan saya ingin lihat filem seterusnnya darinya supaya dunia ini tak tertumpu pada Chloë saja.



Pengarah: Henry Hobson
Lakonlayar: John Scott III
Pelakon: Arnold Schwarzenegger, Abigail Breslin, Joely Richardson
Muzik : David Wingo
Sinematografi: Lukas Ettlin
Suntingan: Jane Rizzo
Studio produksi: Grindstone Entertainment Group, Gold Star Films, Lotus Entertainment, Matt Baer Films, Silver Reel, Sly Predator
Pengedar: Lionsgate Films, Roadside Attractions, GSC Movies
Tarikh tayang: 4 Jun2015

-----------------------------------------------

No comments:

Related Posts with Thumbnails