Dengan nama Thom Yorke di dalam projek muziknya bersama penerbit album-album Radiohead, Nigel Godrich, apabila mengambil trek seperti "Amok" dan anda lihat pula kulit album ini hasil kerja Stanley Donwood anda akan kata album ini bagai kesinambungan bagi album solo Thom Yorke, The Eraser yang lebih elektronik pembawaannya tetapi Atoms for Peace (AFP) juga ada pemain bass Red Hot Chilli Peppers, Flea yang anda boleh dengar dengan jelas permainan bassnya melalui trek pertama lagi, "Before Your Very Eyes". Bunyian-bunyian ini sukar didefinisikan kerana tidak mengikut gaya yang konvensional tetapi apabila memasuki vokal Thom Yorke, saya kira peminat-peminat Radiohead tidak akan rasa terasing dengan AFP.
Ada trek yang lebih minimal seperti "Dropped" tetapi apabila memasuki bahagian korusnya memberi suspense seperti gaya Dust Brothers melalui runut bunyi filem Fight Club. "Judge, Jury and Executioner", bukan lagu Radiohead tapi dengan elemen akustik, ia lebih tradisional malah lebih Radiohead berbanding dengan stail album solo Thom Yorke sendiri.
Dengan trek-trek seperti "Ingenuine" dan "Reverse Running" dengan penggunaan beat drum n' bass, AFP pada saya masih juga seperti apa yang pernah Thom Yorke hasilkan sebelum ini (tak kira ianya album solo atau bersama Radiohead) tetapi bagi saya ia lebih memfokuskan pada permainan instrumen anggota-anggota lainnya seperti bass dan perkusi, yang anda boleh rujuk jika inginkan persembahan instrumen-instrumen ini dengan gaya yang berbeza.
Atoms For Peace
Album: Amok
Label: XL Recordings
Tahun 2013 :
Rating: 3.5
Nota: ulasan ini pernah diterbitkan di majalah ROTTW sekitar tahun 2013
Catat Ulasan
0Ulasan